Khaled Nordin adakan pertemuan bersama TPM Laos
VIENTIANE – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan pertemuan bilateral dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Laos, Jeneral Chansamone Chanyalath di sini hari ini.
Beliau berkata, Malaysia merakamkan penghargaan dan menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan Laos mempengerusikan ASEAN bagi tahun ini.
“Pelbagai kejayaan dicapai di peringkat ASEAN sepanjang tempoh tersebut, antaranya dalam membawa domain pertahanan ASEAN ke tahap yang lebih tinggi.
“Malaysia berharap agar Laos dapat memberikan sokongan penuh kepada Malaysia dalam mempengerusikan ASEAN pada tahun 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled tiba di Laos semalam bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-18 dan ADMM-Plus ke-11 yang akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini.