Fattah Amin dilantik Ketua Eksekutif Pemasaran Pak Mat Western
KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Fattah Amin membuktikan dirinya bukan sahaja berbakat di layar perak malah mampu memikul tanggungjawab korporat apabila dilantik sebagai Ketua Eksekutif Pemasaran untuk jenama makanan terkenal, Pak Mat Western Group.
Berita perlantikan pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu dimuat naik di laman Facebook Pak Mat Western hari ini.
“SELAMAT DATANG ABDUL FATTAH MOHD AMIN.”
“Tahniah Fattah Amin atas perlantikan sebagai Ketua Eksekutif Pemasaran Pak Mat Western Group. Semoga beliau mampu untuk merancang dan melaksana pembangunan usahawan Pak Mat Western serta merangka strategi jualan yang relevan melalui media massa dan media sosial.
“Saya harap Fattah mampu pikul amanah jawatan dengan penuh cemerlang. See you at work. – Pak Mat.”
Demikian status yang dipapar di akaun rasmi Pak Mat Western.
Ketika artikel ini ditulis, status tersebut menerima 12,000 likes, 1,100 komen dan 226 perkongsian.
“Wah, tahniah. Alhamdulillah, rezeki Fattah. Fattah pun ada Master dari UUM. Bukan calang-calang dah. Moga-moga jodoh Fattah lepas ni ada dekat Kedah. Semoga Una dah tak panas baran lagi dapat bos baru,” komen seorang pengguna media sosial, Hanim Noor.
Perlantikan Fattah, 33, yang turut memegang watak Awang dalam filem box-office Mat Kilau juga, dilihat mampu membawa jenama tempatan itu ke tahap yang lebih tinggi dengan daya tarikannya yang luar biasa.
Populariti Fattah semakin meningkat terutama selepas kes perceraiannya dengan pelakon dan juga usahawan, Fazura, 40, atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin pada 7 Oktober lalu.
Pasangan itu disahkan bercerai talak satu oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di Shah Alam selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkongsian hidup sejak berkahwin pada 27 November 2017, Fattah dan Fazura dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang berusia 4 tahun.
Fazura sebelum itu bertindak memfailkan permohonan cerai pada 13 September 2024 sekali gus menimbulkan kejutan buat peminat FattZura yang melihat mereka sebagai pasangan merpati dua sejoli.