Empat penguatkuasa disyaki terima rasuah direman SPRM
SEREMBAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan hari ini menahan reman empat penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM1,000.
Perbuatan itu dipercayai sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang bagi kesalahan cukai jalan dan permit PUSPAKOM yang telah tamat tempoh.
Perintah reman selama empat hari itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan, pagi tadi.
Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki berusia antara 20-an hingga 40-an itu ditahan kira-kira pukul 5 hingga 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada 12 November lalu di Lebuhraya PLUS berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban.
“Salah seorang suspek disyaki menerima wang rasuah melalui transaksi pindahan ke akaun bank milik seorang individu lain (pihak ketiga) berjumlah RM1,000,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.