Dua rakyat Malaysia cedera terlibat kemalangan di Singapura
SINGAPURA – Dua rakyat Malaysia dilaporkan sedang dirawat di sebuah hospital di Singapura setelah terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah treler di Ekspresway Seletar (SLE), malam kelmarin.
Kedua-dua mangsa berkenaan, Muhammad Hairul Nizam Soyod, 35, ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Khoo Teck Puat manakala rakannya, Hanafi Mis’adi, 23, yang patah kaki kiri sedang di rawat di wad biasa hospital sama, lapor BERNAMA.
Menurut kakak Muhammad Hairul Nizam, Khariol Kamariah Soyod, 40, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa yang bekerja di kedai nasi ayam di Yishun sedang dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru, dipercayai gagal mengelak sebuah trailer yang masuk secara tiba-tiba ke laluan mereka.
Beliau memberitahu, adiknya kini sedang menjalani pembedahan kali kedua bagi menghentikan pendarahan dalaman akibat kecederaan serius di bahagian pinggul.
“Saya difahamkan adik saya cedera teruk di bahagian pinggul selepas dilanggar tayar lori. Buat masa ini, saya hanya dimaklumkan kedua-dua tulang pinggul dia patah dan perlu menjalani pembedahan kali kedua akibat pendarahan yang serius.
“Doktor maklumkan akan kongsi lebih lanjut selepas selesai pembedahan nanti,” katanya.
Khariol Kamariah berkata isteri dan anak lelaki Muhammad Hairul Nizam yang berusia dua tahun masih belum dapat melawat mangsa kerana tiada pasport.
“Kebetulan saya juga bekerja di tempat yang sama dengan adik saya. Jadi buat masa ini hanya saya mewakili keluarga untuk jaga dan lawat dia di sini,” katanya.
Sementara itu, Polis Singapura berkata, pemandu trailer terbabit ditahan kerana memandu dengan cuai dan mengakibatkan kecederaan parah berikutan kemalangan itu.