Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Kanak-kanak cedera di Kuang terjatuh sendiri, bukan akibat kemalangan

SUNGAI BULOH – Polis mengesahkan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang cedera di Jalan Stesen Kuang, pada Khamis lalu, terjatuh sendiri ketika menunggang basikal dan bukan akibat kemalangan seperti dilaporkan sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian itu berlaku apabila seluar yang dipakai mangsa tersangkut pada rantai basikal menyebabkan dia terjatuh.

“Polis berjaya mengesan saksi yang berada di lokasi dan membantu mangsa. Berdasarkan keterangan saksi, mereka melihat kanak-kanak itu terjatuh di atas jalan sebelum berlari membantunya.

“Keterangan itu selari dengan pemeriksaan ke atas seluar mangsa yang menunjukkan kesan koyak dan minyak rantai basikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari sebuah kedai runcit, kira-kira 200 meter dari sekolahnya.

Hafiz berkata, pemeriksaan ke atas basikal mangsa juga tidak menemui sebarang kesan pelanggaran dengan kenderaan lain.

“Setakat ini, mangsa belum dapat memberi keterangan kerana masih menerima rawatan di hospital. Dimaklumkan, mangsa masih ditidurkan dan belum sedarkan diri,” katanya lagi.

Laporan awal kejadian diterima pada Jumaat lalu dengan mangsa dilaporkan mengalami pendarahan di kepala.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Hafiz turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat berkaitan insiden tersebut.

Polis sebelum itu menggesa saksi kejadian tampil membantu siasatan, dan lima individu telah memberi keterangan setakat ini.

Show More

Related Articles

Back to top button