Berita Semasa

Timbalan Panglima Tentera Laut mulakan tugas rasmi

KUALA LUMPUR – Laksamana Madya Datuk Ts. Shamsuddin Ludin memulakan tugas sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut hari ini.

Menurut Markas Tentera Laut dalam satu kenyataan, ketibaan beliau ke Wisma Pertahanan disambut Asisten Ketua
Staf Sumber Manusia, Laksamana Muda Badarudin Taha dan Asisten Ketua Staf
Pentadbiran, Laksamana Pertama Kamaruddin Omar serta barisan pengurusan tertinggi Markas Tentera Laut.

Katanya, Shamsuddin sebelum ini telah memegang jawatan Panglima Armada Barat mulai 18 Oktober 2023.

“Antara jawatan yang pernah disandang beliau adalah Pegawai Kanan Skuadron Penangkis Periuk Api Ke-26 semasa beliau memegang jawatan sebagai Pegawai Memerintah Kapal Diraja (KD) Mahamiru dan Pegawai Kanan Skuadron Frigat Ke-23 ketika beliau memegang jawatan sebagai Pegawai Memerintah KD Jebat.

“Selain itu, beliau pernah memegang jawatan Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan di Markas Tentera Laut dan dilantik sebagai Ketua Pengarah Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan di Markas Angkatan Tentera Malaysia,” katanya hari ini.

Laksamana Madya Datuk Ts. Shamsuddin Ludin memulakan tugas sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut

Shamsuddin telah memperoleh Ijazah Sarjana dalam Pengurusan dan Kajian Pertahanan dari Universiti Canberra, Australia dan Ijazah Sarjana dalam bidang Maritime Studies dari Universiti Wollongong, Australia.

Beliau juga telah menamatkan pengajian Command and Staff College di Australia serta Naval Command Course U.S Naval War College di Rhode Island.

Beliau telah menerima anugerah Pakar Keselamatan Siber Tahun 2021 oleh Cyber Security Malaysia sebagai pengiktirafan ke atas sumbangan dan inisiatif beliau dalam bidang keselamatan siber.

Selain itu, beliau juga dilantik sebagai Profesor Adjung oleh Universiti Teknologi MARA dan juga diiktiraf sebagai Profesional Teknologis oleh Lembaga Teknologis Malaysia.

 

Show More

Related Articles

Back to top button