Berita Semasa

Sambutan Hari Toleransi Sedunia perkukuh perpaduan negara

MELAKA – Sambutan Hari Toleransi Sedunia di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan memperkukuhkan keharmonian serta perpaduan melalui kefahaman terhadap kepelbagaian agama, budaya dan adat resam di negara ini.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami berkata, sifat toleransi dan persefahaman amat penting dalam membina masyarakat yang harmoni.

Menurut beliau, walaupun wujud cabaran daripada kepelbagaian masyarakat, toleransi yang tinggi mampu menjadikan perbezaan itu sebagai kekuatan yang menyatupadukan negara.

“Walaupun terdapat cabaran daripada kepelbagaian masyarakat, sifat toleransi yang tinggi dapat menjadikan perbezaan itu sebagai kekuatan negara.

“Itu akan membantu membentuk masyarakat Malaysia yang harmoni dan bersatu padu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sambutan tersebut mengetengahkan konsep faham, hormat dan terima yang dianggap sebagai kunci utama dalam memastikan perpaduan yang kukuh di negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Antara program sepanjang sambutan termasuk lawatan ke rumah-rumah ibadat, muzium dan bangunan kebudayaan yang mencerminkan keunikan masyarakat pelbagai etnik.

Melalui program tersebut, peserta diberi peluang untuk lebih memahami budaya dan agama masing-masing, sambil menyemai semangat keharmonian dan saling menghargai.

Turut diadakan persembahan kebudayaan dan identiti etnik yang menggambarkan warisan Malaysia.

Sambutan Hari Toleransi Sedunia yang disambut setiap 16 November ini adalah inisiatif yang disokong oleh UNESCO, bertujuan menghormati serta menghargai keragaman budaya dunia.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) juga akan terus memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian melalui pelbagai program inklusif dan menyeluruh.

Show More

Related Articles

Back to top button