Penguatkuasaan kerangka pelesenan media sosial tidak jejas pengguna
KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan kerangka pelesenan terhadap firma-firma media sosial yang bermula pada tahun depan tidak akan menjejaskan pengguna perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan itu hanya akan mewajibkan penyedia perkhidmatan untuk mendapatkan lesen yang berkaitan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Sehubungan itu katanya, kerajaan tidak berhasrat menutup mana-mana platform media sosial selepas syarat pelesenan dikuatkuasakan kerana pelesenan itu tidak terpakai kepada individu sebaliknya kepada penyedia platfom seperti Facebook, WhatsApp dan Instragam.
Beliau berkata demikian dalam satu jawapan bertulis bagi menjawab persoalan yang diajukan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dari PH.
Untuk rekod, keperluan pelesenan ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet dan penyedia perkhidmatan media sosial diwartakan pada 1 Ogos 2024 dan akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2025.
Melalui pewartaan itu, penyedia perkhidmatan perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
“Keperluan pelesenan di bawah Akta 588 ini adalah untuk memastikan penyedia perkhidmatan bertanggungjawab dan memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat kepada pengguna platform mereka.
“Ini termasuk menangani secara efektif kandungan mudarat dengan memperkukuhkan sistem dan proses mereka dalam mengurangkan jenayah dalam talian seperti penipuan dalam talian, jenayah seksual dan buli siber. Pewartaan ini membolehkan pengguna terus menikmati pengalaman digital yang lebih selamat,” katanya.
Tambah beliau, di bawah Akta 588, terdapat langkah-langkah perlindungan yang kukuh untuk mengimbangi keperluan kawal selia dan perlindungan kepada hak kebebasan bersuara serta kebebasan maklumat.
Oleh itu katanya, pelaksanaan kerangka pelesenan di bawah Akta 588 ini adalah bertujuan untuk menangani isu-isu jenayah dalam talian tanpa menyekat inovasi dan pembangunan.