Pemandu BMW langgar lari motosikal ditunggang tiga sekeluarga ditahan
KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian langgar lari mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan menaiki motosikal bersama ibu bapanya ditahan polis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lelaki berusia 31 tahun yang memandu kereta jenis BMW 5 Series itu ditahan semasa hadir memberi keterangan di JSPT di sini.
Dalam kejadian di Lebuhraya Bukit Jalil pada Jumaat lalu, mangsa meninggal dunia selepas motosika yang dinaiki bersama ibu dan bapanya terjatuh setelah dilanggar kereta suspek.
“Ketiga-tiga mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh orang awam dan anak mangsa berumur tujuh tahun meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam video tular sebelum ini, rakaman menunjukkan sebuah kereta yang dipandu laju merempuh sebuah motosikal sebelum berhenti seketika dan meninggalkan lokasi kemalangan.