Berita Semasa

Media Malaysia diberi pendedahan isu kerintangan antimikrob (AMR)

PUTRAJAYA – Isu kerintangan antimikrob (AMR) terus menjadi perhatian utama apabila seramai 20 pengamal media menghadiri Bengkel Sesi Libat Urus Media sempena Sambutan Minggu Kesedaran Kerintangan Antimikrob (AMR) 2024 yang berlangsung di The Everly Putrajaya, hari ini.

Program menampilkan lima panel pakar daripada pelbagai bidang untuk berkongsi pandangan dan penyelesaian terhadap cabaran global iaitu Pegawai Komunikasi Serantau, WOAH Sub-Regional Representation for South-East Asia, Thailand, Guillaume Maltaverne.

Panel lain termasuk Pengasas Bersama Vital Signs Asia dan bekas Editor Eksekutif, The Vibes, Manvir Victor; Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Dr. Benedict Sim Lim Heng; Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, Hospital Kajang, Dr. Nor Zaila Zaidan.

Hadir sama Perunding Nasional (Antimicrobial Resistance), Pejabat WHO Malaysia, Brunei Darussalam, dan Singapura, Dr. Tengku Zetty Maztura Tengku Jamaluddin.

Panel-panel sependapat bahawa AMR adalah ancaman besar dalam sektor kesihatan yang memerlukan tindakan segera dan bersepadu.

Antara langkah penting yang dibincangkan adalah kepentingan pendidikan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penggunaan antimikrob secara bertanggungjawab.

Antara lain adalah amalan perubatan yang betul, termasuk penggunaan antimikrob secara rasional serta pelaksanaan audit dan pemantauan yang berkesan.

Sementara itu, panel turut menekankan kerjasama melalui pendekatan OneHealth yang melibatkan pelbagai sektor seperti kesihatan, persekitaran dan veterinar sebagai kunci utama dalam membendung isu ini.

Pendekatan tersebut mampu mengurangkan kesan AMR dan memastikan keberkesanan ubat-ubatan antimikrob terus terjamin untuk generasi akan datang.

Bengkel itu juga memperkukuh peranan media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat sekali gus membantu meningkatkan kesedaran tentang ancaman AMR yang semakin serius di seluruh dunia.

Show More

Related Articles

Back to top button