JBPM sudah rangka pelan efektif hadapi MTL
MTL kali ini dijangka sebabkan banjir luar jangka yang lebih besar
SEREMBAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah merangka pelan tindakan kecemasan yang lebih efektif bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
Ini kerana, kata Ketua Pengarah JPBM, Datuk Nor Hisham Mohammad, MTL kali ini dijangka menyebabkan banjir luar jangka yang lebih besar dan belum pernah dialami.
“Kemungkinan boleh berlakunya banjir luar jangka lebih besar dan belum pernah dialami sebelum ini pada MTL kali ini.
“Justeru, pelbagai persiapan rapi dibuat JBPM termasuk mengaktifkan bilik gerakan banjir di Pusat Gerakan Operasi (PGO) di setiap negeri.
“Selain itu, kita menggunakan aset udara iaitu helikopter dan dron bagi membuat pemantauan kawasan terjejas banjir terutama di kawasan atau laluan yang tidak diketahui,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, laporan media menyebut, sebanyak 4,619 ‘hotspot’ banjir di negara ini sudah dikenal pasti sebagai persediaan menghadapi MTL.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan sebagai berkata, kawasan ‘hotspot’ itu dikenal pasti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membolehkan persediaan dan perancangan awal dapat dilakukan sebelum bencana banjir berlaku.
Sehubungan itu, kata Nor Hisham, JPBM turut menggerakkan Pasukan Gerak Cepat (RED TEAM) yang akan bertindak sebagai ‘strike team’ bagi memantapkan persiapan dan persediaan perkhidmatan kebombaan serta penyelamatan yang lebih efisien.
Katanya, semua maklumat berkaitan banjir di JBPM negeri akan disalurkan dan diselaraskan di Pusat Pengurusan Operasi (PPO).
“Orang ramai perlu bersiap sedia dengan segala kemungkinan berlakunya bencana banjir dengan membuat persediaan sebelum, semasa dan selepas berlakunya bencana itu,” katanya.