Ibu maut, anak cedera parah dirempuh kereta api
PUTATAN – Seorang wanita maut manakala anak lelakinya cedera parah selepas dirempuh kereta api ketika melintas landasan kereta api berhampiran Kampung Petagas, di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noorsherriyana Bohari berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, kedua-dua mangsa difahamkan sedang melintas landasan tersebut sebelum dirempuh kereta api yang dalam perjalanan dari Putatan ke Kota Kinabalu.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden rempuhan kereta api itu pada pukul 1.58 petang dan sepasukan tujuh pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa terlibat seorang wanita berusia 41 tahun dan kanak-kanak lelaki 11 tahun. Wanita itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala, anak lelakinya mengalami cedera parah termasuk putus bahagian kaki.
“Kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Queen Elizabeth menaiki ambulans Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mayat mangsa wanita diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut.