Pelajar Kolej Vokasional Keningau wakili Malaysia di Forum APEC 2024
KOTA KINABALU – Laetitia Anwen Ng, pelajar berusia 20 tahun daripada Program Kosmetologi, Kolej Vokasional Keningau terpilih sebagai delegasi mewakili Malaysia di Forum APEC 2024 mengenai Pemberdayaan Wanita dan Belia yang berlangsung di Taipei, Taiwan, pada 13 hingga 15 November lalu.
Program global itu dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Taiwan dengan pembiayaan penuh untuk semua 80 delegasi, termasuk Laetitia dan pensyarahnya, Sydney Engelbert.
Forum tiga hari itu menampilkan penceramah terkemuka dunia dan bertujuan mengangkat peranan wanita dan belia dalam memacu inovasi serta perubahan berimpak tinggi dalam keusahawanan, pendidikan mampan dan pembangunan kemahiran merentas disiplin.
Aktiviti forum merangkumi dialog, bengkel, pembentangan, serta lawatan ke organisasi bukan keuntungan dan inisiatif lestari.
Laetitia dipilih oleh Kementerian Pendidikan kerana sumbangannya dalam sukarelawan belia, termasuk perkhidmatan komuniti, penganjuran kem kepimpinan di Keningau, usaha pengumpulan dana untuk pesakit kanser dan keluarga berpendapatan rendah serta penyertaan aktif dalam program pengantarabangsaan.
“Saya amat teruja dapat menyertai program ini, yang memberi motivasi tambahan untuk terus membantu masyarakat melalui penglibatan sivik dan kerja sukarela. Saya juga bercadang untuk melancarkan perusahaan sosial sendiri, memanfaatkan kemahiran sebagai pakar kecantikan,” katanya memetik laporan Borneo Poat.
Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin Akup mengucapkan penghargaan kepada Laetitia dan Sydney atas sumbangan mereka yang membawa pengiktirafan itu.
Beliau berharap ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat diterapkan dalam inisiatif keusahawanan dan pembangunan lestari pada masa depan.