Berita Semasa

Nisbah bilangan individu autistik berbanding pusat autisme masih tidak mencukupi

KUALA LUMPUR – Perkadaran nisbah antara bilangan individu autistik berdaftar berbanding bilangan pusat autisme di seluruh negara di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau agensi kerajaan lain masih tidak mencukupi.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi merapatkan jurang penawaran dan permintaan terhadap perkhidmatan dan sokongan autisme, termasuk kerjasama dengan komuniti serta Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan (PSK).

“Kerajaan sentiasa berusaha melaksanakan inisiatif yang dapat memberi sokongan perkhidmatan ini dari semasa ke semasa,” katanya, hari ini.

Nancy berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, kata Nancy, pihaknya sedang memperincikan perancangan untuk membangunkan Pusat Perkhidmatan Autisme serta menyedia Bantuan Yuran Pembelajaran Anak Autisme dalam tempoh terdekat.

“Usaha dan sokongan bagi perkhidmatan program intervensi dan rehabilitasi untuk autisme adalah bersifat rentas kementerian dan memerlukan pelbagai kepakaran dan sokongan.

“Pendekatan ini perlu bagi memastikan sokongan diberikan bersifat holistik dan menyokong ke arah perkembangan, kesamarataan hak dan peluang serta penyertaan aktif OKU autisme,” katanya.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 bulan lalu mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk membangunkan Pusat Perkhidmatan Autisme dan RM15 juta bagi Bantuan Yuran Pembelajaran Anak Autisme.

Show More

Related Articles

Back to top button