Berita Semasa

KPDN tegas banteras penyelewengan minyak masak bersubsidi

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran keras terhadap penyalahgunaan barangan bersubsidi khususnya minyak masak paket satu kilogram digunakan secara tidak sah di restoran.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, pihaknya menyedari terdapat tindakan tidak bertanggungjawab dalam kalangan pihak tertentu yang mengambil kesempatan terhadap subsidi yang diperuntukkan untuk golongan sasaran.

“Ada pihak yang menggunakan minyak masak subsidi ini di restoran sedangkan ia sepatutnya untuk isi rumah.

“Perkara itu akan dibanteras habis-habisan. Penguat kuasa KPDN akan memastikan tiada ketirisan berlaku,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) di Dewan Rakyat, hari ini.

Fuziah berkata, KPDN menggunakan sistem eCOSS untuk menjejaki rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi bagi memastikan ketelusan.

“Sistem itu membolehkan kami mengesan perjalanan minyak masak dari pengilang (repacker) kepada pemborong dan seterusnya kepada peruncit. Peruncit pula diminta merekod penjualan mereka dalam buku log,” katanya lagi.

Namun, beliau mengakui terdapat cabaran apabila sebahagian peruncit tidak menyelenggara buku log dengan baik.

“Penguatkuasaan menjadi keutamaan kami. Penguat kuasa KPDN bekerja 24 jam sehari untuk memastikan tiada ketirisan berlaku,” tambahnya.

Fuziah turut memaklumkan bahawa sebanyak 60 juta minyak masak paket bersubsidi dikeluarkan setiap bulan, oleh itu langkah pemantauan dan penguatkuasaan adalah penting untuk memastikan subsidi ini sampai kepada golongan yang benar-benar layak.

“Kementerian komited untuk membanteras sebarang bentuk penyelewengan barangan bersubsidi bagi melindungi kepentingan rakyat dan memastikan subsidi digunakan dengan sewajarnya,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button