Berita Semasa

Kerajaan utamakan pemulihan kanak-kanak GISBH 

KUALA LUMPUR – Kerajaan bertekad mengembalikan kanak-kanak daripada kumpulan GISBH Holdings (GISBH) kepada pangkuan ibu bapa dan keluarga mereka sebagai langkah utama untuk memastikan kebajikan mereka terjamin serta dapat menjalani kehidupan yang normal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, usaha itu selaras dengan pendirian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPKM) dalam menyokong pemulihan kanak-kanak berkenaan.

“Pemantauan perkembangan kanak-kanak ini akan dilakukan secara berkala dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain melibatkan pakar dalam bidang pedagogi, psikologi dan akidah,” katanya ketika menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut memperkenalkan modul pemulihan khas bagi membantu kanak-kanak yang merangkumi aspek akidah, kaunseling, pendidikan, latihan kemahiran serta nilai kenegaraan.

“Kerjasama dengan komuniti setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat penting untuk mewujudkan sokongan sosial yang kukuh,” katanya

Mohd Na’im berkata, kerajaan telah melancarkan program rehabilitasi sukarela untuk ahli GISBH dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Projek rintis telah dimulakan pada 7 November lalu melibatkan 11 ahli GISBH di rumah pemulihan MAIS menggunakan modul Istitabah yang meliputi pemulihan akidah, pendidikan dan kemahiran hidup,” katanya.

Beliau turut berkata, jawatankuasa bersama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), JAKIM, dan JKM sedang mengenal pasti pengikut GISBH bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di luar.

“Kerajaan juga akan terus memperkukuhkan akidah umat Islam, termasuk ahli GISBH melalui pembudayaan ilmu dan pentarbiahan bersama agensi agama serta Majlis Agama Islam negeri,” katanya lagi.

Minggu lalu, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan bahawa ajaran dan pegangan ahli GISBH adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Pengerusi MKI, Datuk Nooh Gadut, dalam kenyataan pada 14 November, menegaskan keputusan itu dibuat berdasarkan hujah dan fakta kukuh yang dikemukakan penyelidik pada mesyuarat jawatankuasa berkenaan pada 24 hingga 26 September.

Show More

Related Articles

Back to top button