Atlet Mobile Legends Amerika mohon maaf hina Jalur Gemilang
KUALA LUMPUR – Atlet Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dari Amerika Syarikat (AS), Michael Cosgun yang dikenali sebagai Mobazane memohon maaf secara terbuka atas tindakannya menghina Jalur Gemilang menerusi hantaran di Instagram minggu lalu.
Mobazane sebelum itu memuat naik hantaran yang mengundang kemarahan peminat e-sukan Malaysia di mana beliau menyifatkan pasukan negara sebagai lemah.
Tindakan itu menerima kecaman hebat, termasuk daripada Persekutuan Esukan Malaysia (MESF) yang menuntut permohonan maaf terbuka daripadanya.
Mobazane dalam permohonan maafnya melalui Instagram Story menyatakan penyesalan mendalam atas tindakannya.
“Saya seikhlas hati ingin memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan juga sesiapa sahaja yang tersinggung dengan tindakan saya dan memahami bahawa niat tidak selalunya mencerminkan kesan tindakan kita dan saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap hantaran tersebut.
“Saya berjanji untuk belajar daripada kesilapan ini dan memastikan ia tidak berulang lagi,” katanya lagi.
Sementara itu, MESF mengecam insiden tersebut dan menggesa badan induk MLBB, Moonton untuk memperkukuh kehormatan serta keharmonian dalam komuniti e-sukan.
“Persekutuan berharap agar insiden seperti ini tidak berulang dan menggesa Moonton mengambil langkah tegas untuk memastikan semua pihak dalam komuniti e-sukan menghormati sensitiviti budaya serta simbol kebangsaan,” memetik laporan portal Stadium Astro.
Insiden itu mencetuskan perbincangan meluas dalam kalangan komuniti e-sukan tempatan yang menuntut tindakan lebih tegas diambil terhadap sebarang perbuatan yang mencemarkan maruah negara.