RUU pinda Akta DBP 1959 akan dibentang dalam masa terdekat
Beri kuasa penguatkasaan kepada DBP tangani kesalahan berkaitan bahasa kebangsaan
KUALA LUMPUR – Satu Rang Undang-undang (RUU) bagi meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 akan dibentang di Parlimen dalam masa terdekat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pindaan yang berupaya memberi ‘taring’ kepada agensi itu dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan kesalahan bahasa kebangsaan sedang disegerakan.
“Kita sedang bekerja keras ke arah itu, dan memang itu tanggungjawab yang diberikan kepada DBP untuk memastikan pindaan undang undang itu dapat kita segerakan dan dapat dibentangkan di Parlimen dengan segera mungkin,” katanya.
Fadhlina berkata demikian selepas merasmikan Malam Puisi Riong anjuran Berita Harian (BH) dan DBP di Balai Budaya Tun Syed Nasir, di isni malam tadi.
Untuk rekod, kali terakhir akta tersebut dipinda adalah pada 1995.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, akta itu perlu dipinda sebagai usaha memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Jelasnya pindaan itu penting bagi membolehkan DBP menguatkuasakan undang-undang sekiranya berlaku pelanggaran mengenai Bahasa Melayu.
Misalnya, ia membolehkan DBP mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan kepada pemaju perumahan yang sengaja menggunakan nama asing bagi menamakan sesuatu projek.