Jenayah & Mahkamah

Polis tahan pengawal keselamatan sebar surat guna nama TPM

KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan ditahan kerana disyaki sebagai individu yang menyebarkan surat palsu menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di pondok pengawal Pejabat Daerah Samarahan, Sarawak kira-kira pukul 12.45 tengah hari, semalam.

“Tangkapan itu susulan laporan polis yang diterima daripada seorang lelaki mendakwa menerima tawaran kerja daripada suspek sebagai pegawai setiausaha pejabat di pejabat TPM.

“Pengadu mendakwa mengenali suspek sejak Julai lalu dan suspek berjaya meyakinkan pengadu bahawa dia adalah pengiring rapat kepada TPM (Fadillah).

“Pengadu yang terpedaya menyerahkan dokumen peribadi sebelum suspek menyerahkan kepadanya surat kononnya surat perlantikan sebagai pegawai setiausaha pejabat dan permohonan kuarters kerajaan,” katanya dalam laporan BH Online, hari ini.

Pengadu kemudiannya membuat semakan mengenai kesahihan surat itu dengan rakan kakaknya, yang kemudian mengesahkan bahawa surat itu adalah palsu.

Berikutan itu, katanya pengadu membuat laporan polis kerana rasa tertipu dan bimbang butiran peribadinya yang diserahkan kepada suspek disalah guna untuk tujuan salah.

“Siasatan mendapati, suspek mengaku menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dengan kerajaan persekutuan kepada beberapa orang rakan-rakan termasuk pengadu pada hujung Oktober lalu.

“Dia mendakwa membuat tawaran sedemikian kerana ingin perhatian daripada rakan-rakan, dan suka dilayan sebagai orang penting,” katanya.

Razarudin kemudiannya menambah, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat pada hari ini untuk siasatan lanjut yang akan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 kanun sama.

Show More

Related Articles

Back to top button