Berita Semasa

Pahang tutup sementara Taman Eko Rimba, Hutan Taman Negeri, kawasan pelancongan eko

KUANTAN – Kesemua Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri serta kawasan pelancongan eko di Pahang ditutup sementara mulai 21 Oktober sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan.

Arahan penutupan sementara oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) itu berikutan Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula.

Menurut Penolong Pengarah kanan Hutan Lipur JPNP, Muhamad Rahman Mustafa, turut dilarang, aktiviti rekreasi dalam hutan simpan kekal (HSK) membabitkan kegiatan seperti perkhemahan, memancing, perkelahan dan pendakian.

“Bagaimanapun, penutupan tidak membabitkan Taman Eko Rimba Mossy Forest di Cameron Highlands,” katanya.

Selaras arahan itu, semua jenis aktiviti rekreasi termasuk pendakian gunung, sukan lasak berkenderaan, penjelajahan gua dan lain-lain aktiviti riadah tidak dibenarkan sepanjang tempoh berkenaan.

“Bagi pengunjung yang tidak mematuhi notis ini, tindakan undang-undang boleh dikenakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984. Sebarang pertanyaan, boleh berhubung terus dengan JPNP di talian 09-5732911/2914.

“JPNP sentiasa mengambil berat keselamatan pengunjung yang berada di kawasan pelancongan seliaan jabatan. Keputusan menutup sementara perlu dilakukan demi keselamatan,” katanya.

Muhamad Rahman berkata, kejadian tidak diingini seperti kepala air, tanah runtuh, pokok tumbang dan terputus hubungan boleh berlaku sekiranya hujan lebat.

Katanya, penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) akan melakukan rondaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada pihak berada dalam Taman Eko Rimba, Hutan Taman Negeri dan Hutan Simpan Kekal sepanjang tempoh larangan sementara itu.

Di Pahang, terdapat 25 Taman Eko Rimba dan dua taman negeri yang sentiasa menjadi lokasi kunjungan pelancong tempatan dan luar negara.

Monsun Timur Laut membawa hujan lebat terutama kepada negeri di Pantai Timur.

Show More

Related Articles

Back to top button