Berita Semasa

TikTok janji tumpu isu buli siber dan penipuan di Malaysia

KUALA LUMPUR – TikTok memberi jaminan untuk menangani isu buli siber, ancaman penipuan dan budaya fitnah yang semakin berleluasa di platform media sosial itu di Malaysia.

Jaminan tersebut dinyatakan dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan delegasi TikTok yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shou Zi Chew di Peru semalam.

Anwar berkata, keperluan pelaksanaan kerangka kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang akan bermula 1 Januari tahun depan.

“Saya bangkitkan beberapa isu termasuk pelaksanaan kerangka kawal selia, buli siber ancaman penipuan dan budaya fitnah di TikTok yang semakin membimbangkan di Malaysia.

“TikTok memberi jaminan untuk meneliti permasalahan itu serta menjalin kerjasama erat dengan Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya pada satu hantaran di laman X hari ini.

Menurut Anwar, delegasi TikTok turut menyatakan komitmen mereka untuk melanjutkan pelaburan besar-besaran di Malaysia sebagai sokongan kepada Kerajaan Madani.

“Kami turut membincangkan kerjasama strategik antara Kerajaan Madani dan TikTok di Malaysia. Mereka memberikan perakuan untuk melanjutkan pelaburan besar di negara kita,” katanya lagi.

Selain itu, TikTok juga komited menyokong usaha Malaysia dalam peranan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

Pertemuan itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan penyedia perkhidmatan media sosial seperti TikTok bertanggungjawab terhadap kandungan di platform mereka, sambil menjalin kerjasama yang membawa manfaat kepada rakyat dan negara.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button