Pelajar jatuh dari bumbung sekolah setelah khayal akibat vape
KANGAR – Seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah di sini cedera selepas terjatuh dari bumbung sekolahnya, dipercayai akibat khayal selepas menghisap vape.
Menurut Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Ariffin, kejadian itu berlaku sekitar pukul 11 pagi tadi.
“Berdasarkan keterangan pelajar itu, dia menghisap vape dalam kelas ketika hujung waktu rehat sesi pembelajaran dan berasa khayal.
“Dia kemudian turun dari tingkat satu bangunan melalui bumbung, namun akibat rasa khayal, dia terjatuh ke tanah dan mengalami luka ringan di kakinya,” katanya kepada portal Astro Awani, hari ini.
Selepas terjatuh, pelajar berkenaan dilihat menjadi tidak terkawal dengan meracau sehingga memaksa pihak pentadbiran sekolah menghubungi polis.
“Polis kemudiannya membawa pelajar berkenaan ke Klinik Kesihatan Kangar untuk pemeriksaan selanjutnya di mana dia diuji untuk saringan dadah namun keputusan ujian air kencingnya negatif.
“Pelajar itu kemudian dibawa pulang oleh warisnya dan dia kini sudah berada dalam keadaan stabil dan waras,” katanya.
Rose Aza kemudiannya berkata, pihaknya bersama sekolah berkenaan sedang bekerjasama dengan polis menyiasat perkara berkenaan.
“Di pihak jabatan, kita sudah arahkan sekolah menerusi guru disiplin itu untuk menyiasat serta mencari pembekal vape itu serta melakukan susulan terhadap ujian air kencing pelajar berkenaan sebelum menghantar laporan awal kepada Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
“Kita juga akan membantu pihak sekolah menyediakan laporan awal serta tindakan yang akan diambil Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) berhubung kes vape ini dan dia juga akan terus dibantu bagi memastikan pulih semula,” katanya lagi.