Pekerja warga Indonesia maut dihempap balak di hulu Paka
DUNGUN – Seorang lelaki pekerja kem pembalakan maut dihempap sebatang pokok balak di Kampung Hulu Paka di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Noor Fadzly@Rudy Md Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 2.34 petang.
“Didapati seorang lelaki warga Indonesia berusia 54 tahun dihempap sebatang pokok besar berukuran 250 sentimeter ukur lilit semasa melakukan kerja-kerja pembalakan.
“Mangsa dihempap di bahagian kepala dan tersepit di bahagian kaki telah berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menerusi peralatan digunakan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Noor Fadzly berkata, pihaknya menghadapi kesukaran untuk sampai di lokasi kerana faktor jalan dan keadaan cuaca hujan ketika itu
Menurutnya, seramai sembilan anggota bomba dari BPP AMBS dan dua jentera telah dikerahkan ke tempat kejadian.