MINDEF siap sedia pelan kontigensi jika MALBATT diarah berundur
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sudah bersiap sedia dengan pelan kontigensi sekiranya Pasukan Malaysian Battalion (MALBATT) 850-12 diarahkan untuk berundur dari Lubnan.
Walau bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang keputusan akan ditentukan oleh Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).
“Kita sudah bersiap sedia pelan kontigensi sama ada kekal, berundur atau sebaliknya.
“Tetapi ia bergantung kepada keputusan UNIFIL memandangkan pasukan MALBATT menjalankan misi bawah panji-panji serta mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), maka ia di bawah tanggungjawab UNIFIL,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Sambutan Hari Integriti Nasional 2024 Peringkat Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pihaknya juga sentiasa berkomunikasi dengan pihak UNIFIL bagi mengikuti perkembangan semasa pasukan MALBATT 850-12 di Selatan Lubnan.
“Kita sentiasa berhubung untuk dapatkan maklumat dan apa-apa tindakan segera yang perlu diambil lebih-lebih lagj untuk memastikan anggota dan pasukan kita selamat,” jelasnya.
Pada 8 November lalu, Seramai enam anggota MALBATT 850-12 disahkan mengalami kecederaan susulan insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika mereka begerak dari Beirut ke Kem Marakah.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan letupan tersebut telah menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.
Kejadian malang tersebut turut mengakibatkan tiga nyawa terkorban yang terdiri daripada orang awam dan tentera Lubnan
Untuk rekod, penugasan dan penghantaran pasukan MALBATT 850-12 diatur gerak secara berperingkat melibatkan kekuatan 854 pegawai dan anggota termasuk pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan seorang pegawai awam akan dijalankan hingga 18 November ini.