Berita Semasa

Masalah integriti mula timbul apabila wujud kerenah birokrasi – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR – Masalah integriti akan mula menyelinap masuk apabila wujud kerenah birokrasi yang menyusahkan semua orang, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mohamed Khaled menjelaskan isu-isu korupsi atau cubaan untuk memintas atau ‘beat the system’ kebanyakan bermula akibat prosedur yang menyusahkan.

Walau bagaimanapun, Khaled berkata, ini tidak bermaksud semua perkara perlu diambil mudah kerana ‘mengambil mudah’ dan ‘memudahkan urusan’ adalah dua perkara yang berbeza.

“Yang saya tekankan, dalam menjalankan tugas kita dan dalam berurusan dengan masyarakat, kita mesti mempunyai sistem, prosedur dan cara kerja yang jelas dan membantu menyelesaikan sesuatu urusan itu dengan produktif dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyempurnakan Perasmian Sambutan Hari Integriti Nasional 2024 Peringkat Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, selaras dengan komitmen ke arah meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam, satu Jawatankuasa Pemantauan Penambahbaikan Penyampaian Perkhidmatan (JP4) Peringkat Kementerian Pertahanan (MINDEF)
telah ditubuhkan pada 23 Ogos lalu.

Katanya, penubuhan jawatankuasa ini adalah selari dengan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) pada 16 Ogos lalu.

“Amanat itu menekankan bahawa proses kerja sedia ada perlu ditambah baik bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam adalah menepati kehendak pelanggan,” katanya.

Pada masa yang sama, Khaled berkata, MINDEF komited untuk menyemak dan membuat segala pembaharuan yang bersesuaian bagi memastikan sistem kerjanya tidak lapuk, membuang masa atau membazirkan sumber.

“Kita akan berusaha bersungguh-sungguh mewujudkan satu ekosistem dan persekitaran yang menyuburkan integriti yang sifatnya anti korupsi, anti-culas dan anti-khianat,” katanya.

Khaled menambah, MINDEF mempunyai prosedur yang utuh, teknologi canggih serta kesedaran mendalam tentang tanggungjawab dan amanah yang mesti disemai dan diperkukuh dalam kalangan warga kementerian.

“Kita mesti sedar, amanah yang dikhianati, tanggungjawab yang diabaikan dan sistem kerja yang terpalit dengan pelbagai keculasan, akan hanya merugikan semua pihak.

“Bertitik tolak dari kesedaran tersebut, pelbagai aktiviti kesedaran, pencegahan dan program turun padang akan terus diperkasakan di kementerian ini

“Malah, untuk tahun 2025, saya harap, sesi pengukuhan nilai integriti dalam warga Kementerian Pertahanan dan ATM akan digerakkan dengan lebih berkesan dan menyeluruh,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button