Berita Semasa

Kes Buli UPNM: Pelaku berdepan hukuman diberhentikan pengajian

KUALA LUMPUR – Hukuman keras akan diberikan terhadap pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sekiranya dia didapati bersalah dalam kes buli melibatkan juniornya yang cedera akibat ditekap seterika wap panas.

Tegas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hukuman itu termasuk dibuang dan wajib membayar balik segala kos tanggungan sepanjang pengajian di universiti berkenaan.

“Kita tidak berkompromi soal disiplin sebab orientasi dan raging bukan benda baharu .Tetapi tidaklah pula sampai melibatkan kekerasan.

“Kita akan mengambil tindakan tegas termasuk memberhentikan dan kita akan tuntut supaya bayar balik tanggungan yang telah kita berikan sepanjang masa mereka melalui latihan sebagai seorang pegawai kadet,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Sambutan Hari Integriti Nasional 2024 Peringkat Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, hukuman terhadap pelajar yang terlibat dalam kes penderaan di UPNM sebelum ini akan ditentukan hari ini selepas semua siasatan selesai.

Pada masa yang sama, Khaled berkata, adalah tidak wajar melabel UPNM dengan pelbagai gelaran selepas institusi itu terpalit dengan pelbagai kes buli akhir-akhir ini.

“Tidak wajar labelkan UPNM dengan pelbagai gelaran sebab di universiti ini ia bukan hanya menampung untuk pegawai kadet tetapi mempunyai pelajar daripada orang awam.

Pada 8 November lalu, pegawai kadet ALK-UPNM Amirul Iskandar Norhanizan, 22, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas, 22 Okt lepas.

Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, dengan menggunakan seterika berkenaan di akademi itu di UPNM, Kem Sungai Besi, Cheras di sini pada 11.45 malam.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Show More

Related Articles

Back to top button