Berita Semasa

199 aduan diterima dalam Program MESRA di Changkat Jering

TAIPING – Sebanyak 199 aduan daripada penduduk setempat diterima dalam Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak bagi Daerah Larut Matang dan Selama di sini hari ini.

Dalam program yang berlangsung di Dewan Bunga Raya, Changkat Jering itu sebanyak 69 kaunter aduan dibuka, melibatkan pelbagai portfolio kerajaan negeri serta jabatan dan agensi termasuk Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program itu telah berjaya mengumpulkan sebanyak 1,320 aduan sehingga siri ketujuh dengan 98.5 peratus daripadanya diselesaikan.

“Kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan setiap aduan rakyat dengan segera dan meminimumkan kerenah birokrasi. Kami mahu memastikan suara rakyat didengari dan permasalahan mereka ditangani dengan berkesan,” katanya di sini hari ini.

Saarani berkata, sebanyak 20 aduan masih dalam proses tindakan kerana melibatkan isu yang kompleks namun kerajaan negeri berusaha memastikan penyelesaian terbaik dapat dicapai.

“Turut hadir bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri bertujuan mendekati rakyat dan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi mereka secara terus,” katanya lagi.

Program itu turut dimeriahkan dengan aktiviti seperti Jualan Rahmah Madani, pameran dan jualan dari agensi terlibat.

Kaunter bergerak daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Taiping, Pejabat Daerah dan Tanah LMS serta Pejabat Kesihatan Daerah LMS turut mendapat sambutan oleh orang ramai.

Saarani turut berpuas hati dengan program iMESRA yang berlangsung sepanjang hari dengan kehadiran yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.

“Diharapkan program itu terus memberikan manfaat besar kepada rakyat Perak khususnya di Larut Matang dan Selama,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button