UMNO-BN perlu siap sedia hadapi PRN Sabah
KOTA KINABALU – Biarpun tarikh sebenar Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 masih belum ditetapkan, UMNO-BN tidak boleh alpa dan perlu bersiap sedia menghadapinya.
Sehubungan itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa War Room UMNO negeri bagi meninjau persiapan parti, di sini, menjelang PRN Sabah.
“Meskipun masih belum ada ketetapan berkenaan tarikh pilihan raya tersebut, UMNO-BN khususnya di Sabah perlu bersiap sedia bagi mendepaninya.
“PRN Sabah merupakan pilihan raya yang cukup penting kerana ia adalah permulaan kepada siri pilihan raya yang akan datang, misalnya PRN Melaka, Johor serta Pilihan Raya Umum (PRU),” kata Mohamed Khaled dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Mohamed Khaled turut berkongsikan beberapa keping gambar sempena pertemuan tersebut.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan kemudiannya berkata, strategi serta penawaran UMNO-BN kepada rakyat perlu diteliti dengan kemas dan baik, di samping mengambil langkah untuk terus memperkuat jentera parti di negeri berkenaan.