‘Saya, kementerian serahkan kepada pihak berkuasa untuk lakukan siasatan’ – Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR – Kejadian buli terbaharu di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) seperti yang dilaporkan media hari ini adalah tidak wajar dan merosakkan imej pusat pengajian tinggi.
Sentimen tersebut disuarakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebentar tadi.
“Saya telah dimaklumkan berkenaan laporan media yang tular melibatkan seorang pelatih di UPNM yang mengalami kecederaan dipercayai tindakan seorang pelatih senior.
Kementerian Pertahanan berpendirian kejadian sebegini adalah tidak wajar dan merosakkan imej UPNM dan institusi pendidikan tinggi,” kata Mohamed Khaled dalam satu ciapan di akaun X (Twitter) miliknya, sebentar tadi.
Susulan laporan polis yang dibuat, beliau berkata, pihak kementerian menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.
“Justeru, pihak saya dan Kementerian Pertahanan akan memberi sepenuh kerjasama dan perhatian dalam perkara ini,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan satu kejadian buli yang melibatkan seorang pelajar Tahun Satu, pada 21 Oktober lepas.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang berada di tepi padang kawad setelah selesai sesi panggil nama.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, mangsa yang berusia 19 tahun dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga.