Pertambahan kerusi Parlimen Sabah, Sarawak dijangka selepas PRU16
KUCHING – Pertambahan bilangan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak hanyq akan diputuskan selepas beberapa aspek perundangan diteliti sebelum melalui pindaan di Dewan Rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sekiranya diluluskan perkara itu dijangka dimuktamadkan selepas Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU16).
Beliau berkata, pelaksanaannya memerlukan perlu diteliti melalui sudut perundangan melibatkan Jabatan Peguam Negara, Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Sarawak.
“Tak sempat pada PRU16. Setakat ini kita tidak menetapkan sebarang tempoh bagi pelaksanaan tambahan kerusi itu tetapi kita bagi masa untuk mereka teliti perkara itu.
“Nanti suku pertama tahun depan, baru kita akan mendapat laporan daripada ketiga-tiga penasihat undang-undang untuk dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63),” katanya memetik laporan FMT hari ini.
Setakat ini, katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah selesai menjalankan kajian bagi perkara berkenaan hanya di Sarawak.
Isu tuntutan kerusi Parlimen dibincangkan dalam mesyuarat MTPMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada September lepas.
Kali terakhir persempadanan semula melibatkan kerusi Parlimen dilakukan pada 2006, dengan Sabah dan Sarawak kini masing-masing mempunyai 25 dan 31 ahli Dewan Rakyat, iaitu 56 kerusi atau kira-kira 25% daripada 222 kerusi.