Anwar tiba di Kaherah, mulakan lawatan rasmi ke Mesir
KAHERAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kaherah, Mesir, pada petang Sabtu bagi memulakan lawatan rasmi selama empat hari yang bertujuan memperkukuh hubungan diplomatik serta menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang dengan negara itu.
Ini merupakan lawatan kedua Anwar ke Mesir sejak dilantik sebagai Perdana Menteri yang mana lawatan pertama dilakukannya pada Oktober tahun lalu.
Pesawat khas yang membawa Anwar dan delegasi Malaysia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pada pukul 6.30 petang waktu tempatan (12.30 tengah malam Ahad waktu Malaysia).
Setibanya di Dewan Ketibaan Presiden, Anwar diberi penghormatan melakukan pemeriksaan kawalan kehormat melibatkan 16 anggota tentera Mesir.
Mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan ini adalah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Timbalan Menteri NRES dan Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Ketibaan Anwar disambut oleh Perdana Menteri Mesir, Dr Mustafa Madbouly, serta Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian, dan pegawai kerajaan Malaysia di Kaherah.
Lawatan itu juga sangat bermakna kerana bertepatan dengan sambutan 65 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan Mesir, yang bermula pada 10 November 1959.
Sepanjang lawatan, Anwar dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) termasuk kerjasama antara Malaysia dan Al-Azhar Al-Sharif dalam bidang pendidikan Islam serta MoU dalam bidang hal ehwal agama antara kedua-dua negara.
Di samping itu, Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata bersama Presiden El-Sisi di Istana Al Ittihadiya, serta mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri tempatan dan menyampaikan ceramah kepada pelajar Universiti Al-Azhar.
Anwar juga akan melanjutkan lawatannya ke Riyadh, Arab Saudi pada Isnin ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam, di mana beliau akan berbincang mengenai situasi terkini di Palestin dan Lubnan serta isu serantau.
Selepas kembali ke Kaherah pada malam yang sama, Anwar akan meneruskan programnya termasuk sesi perbincangan dengan delegasi perniagaan Malaysia dan merasmikan pusat operasi pemasangan (CKD) Proton Saga di Mesir.
Beliau dijadualkan berangkat pada Selasa petang untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Lima, Peru, sebelum melanjutkan lawatan ke Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak G20 atas undangan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva.
Lawatan Anwar itu dijangka memberikan impak besar terhadap hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi Malaysia dengan negara-negara Timur Tengah dan Amerika Latin.