Rumah panjang terbakar, 300 penghuni hilang tempat tinggal
KUCHING – Dianggarkan 300 penghuni rumah panjang di penempatan semula Uma Bakah, Sungai Asap di Belaga, hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.20 petang.
Beliau berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
“Lokasi kejadian dari Belaga adalah sejauh 95 kilometer dan ketika ini (jam 3.15 petang) anggota masih dalam perjalanan ke sana,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon, berkata, kebakaran itu memusnahkan semua 15 unit kediaman di Blok F di skim penempatan semula itu.
Chukpai yang juga seorang penduduk di Uma Bakap berkata, keseluruhannya lebih 20 blok dengan jumlah rumah lebih 300 di skim penempatan semula penduduk yang dipindahkan dari kawasan Empangan Hidro Elektrik Bakun itu.
“Nasib baik semua penduduk selamat dan kebakaran itu pula berlaku di blok paling hujung, jika berlaku di blok tengah, mungkin kemusnahan lebih besar berlaku.
“Saya lega apabila difahamkan penduduk beramai-ramai berusaha menghalang kebakaran itu daripada merebak ke blok lain,” katanya yang kini berada di Kuching.
Menurutnya lagi, beliau berusaha untuk segera ke lokasi, namun menghadapi masalah penerbangan ke Bintulu.
“Saya hanya akan ke sana esok menaiki penerbangan awal pagi ke Bintulu sebelum menaiki pikap dalam tempoh kira-kira lima jam untuk sampai ke lokasi,” katanya.