Berita SemasaJenayah & MahkamahLuar Negara

Penahanan enam rakyat Malaysia di Thailand tidak dirancang – Polis Thailand

SUNGAI GOLOK – Polis Thailand menegaskan bahawa penangkapan enam rakyat Malaysia termasuk seorang artis wanita dari Kelantan pada 1 November lalu, tidak dirancang oleh mana-mana pihak.

Ketua Polis Sungai Golok, Jadsadavit Inprapan berkata, serbuan dan tangkapan itu dilakukan berdasarkan siasatan dan maklumat risikan yang dijalankan dalam tempoh tertentu.

“Sebelum tangkapan dilakukan, siasatan sudah dijalankan terlebih dahulu, dan apabila tiba masanya kami melaksanakan tangkapan mengikut prosedur yang ada,” katanya memetik laporan Awani.

Menurut Jadsadavit, pihaknya kini sedang menunggu laporan forensik kimia dan cap jari pada dadah yang dirampas, dengan anggaran masa sebulan untuk mendapat keputusan penuh.

“Tiada keistimewaan dalam siasatan, sama ada melibatkan artis atau VIP. Kami menjalankan tugas mengikut maklumat risikan dan prosedur sedia ada dan menyangkal dakwaan kononnya terdapat perancangan awal dalam operasi itu,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, pegawai bahagian narkotik tidak mengetahui identiti artis berkenaan ketika serbuan dijalankan.

Dalam operasi itu, polis menemui 6,000 biji pil Yaba yang disembunyikan dalam bilik air hotel.

Jadsadavit juga menafikan dakwaan bahawa dua individu sempat melarikan diri sebelum serbuan dilakukan, seperti yang dikatakan oleh pihak keluarga mangsa.

Menurut beliau, kesemua tahanan kini menjalani perintah reman di penjara Narathiwat dan tidak dibenarkan diikat jamin.

Percakapan serta pengakuan kesemua tahanan sudah dirakam dan akan digunakan dalam prosiding mahkamah.

Jelas Jadsadavit lagi, undang-undang berkaitan dadah di Thailand kini lebih ketat, di mana pemilikan pil Yaba melebihi satu biji dianggap sebagai untuk tujuan pengedaran.

Sebelum itu, media melaporkan bahawa enam rakyat Malaysia ditahan dalam serbuan di sebuah bilik hotel di Sungai Golok pada pagi 1 November lalu, dengan kesemua mereka didapati positif dadah selepas menjalani ujian air kencing.

Show More

Related Articles

Back to top button