Kereta EV Neta terbakar di Lebuhraya PLUS
SEREMBAN – Sebuah kereta elektrik jenis Neta (EV) terbakar sepenuhnya dalam insiden kebakaran di Kilometer 277.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara pada awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.31 pagi dan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Mohd Gadaffi berkata, anggota bomba tiba di lokasi dan mendapati kenderaan terbabit telah terbakar 100 peratus.
“Pasukan yang terdiri daripada dua pegawai dan tujuh anggota lain bertindak pantas dengan menggunakan pelbagai peralatan pemadaman, termasuk satu portable water mist, aliran salur bantu mula dan satu aliran hos foam untuk memadamkan api.
“Operasi pemadaman berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan dilaporkan. Pasukan bomba memastikan tiada lagi punca api sebelum berlepas pulang ke balai pada pukul 6.10 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.