Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Industri kurier sediakan peluang pekerjaan kepada lebih 160,000 rakyat Malaysia – Fahmi

CYBERJAYA – Industri kurier telah menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 160,000 rakyat Malaysia, demikian kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Menurut Fahmi, industri berkenaan akan terus berkembang selaras dengan sasaran kadar pertumbuhan kerajaan sebanyak 30 bungkusan per kapita menjelang 2025.

“Menurut data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada tahun 2023, industri kurier telah mencapai kadar 26.1 bungkusan per kapita, sekali gus menunjukkan kemajuan positif ke arah sasaran menjelang 2025,” katanya.

Terdahulu, Fahmi melancarkan Hari Kurier Negara 2024 yang turut dihadiri Timbalannya, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa di Cyberjaya hari ini.

Hari Kurier Negara disambut secara rasmi pada 1 November 2024 bagi mengiktiraf dan menghargai lebih 160,000 pekerja kurier di negara ini.

Dalam majlis berkenaan, Fahmi menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Persatuan Syarikat Penghantaran Express Malaysia (AMEC) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk pelaksanaan Program Latihan Pasport Keselamatan Kurier.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, majikan dalam industri ini diseru untuk meningkatkan kualiti kehidupan pekerja dengan menyediakan latihan dan pembinaan kapasiti yang mencukupi melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Majikan juga perlu memastikan peluang kemajuan kerjaya yang adil, pampasan dan faedah yang sesuai, selain menawarkan kemudahan keselamatan asas untuk menjaga kesihatan fizikal pekerja bagi meningkatkan produktiviti dan menyokong kemampanan industri,” katanya.

Fahmi menambah, sehingga kini terdapat 104 syarikat kurier yang merupakan pemegang lesen pos dan kurier di negara ini, yang menguruskan hampir 97 peratus penghantaran bungkusan kepada pelanggan.

Show More

Related Articles

Back to top button