Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Selangor teliti pembangunan koperasi wanita

SUBANG JAYA – Kerajaan Selangor sedang mempertimbangkan pembangunan koperasi wanita bagi memperkukuh sosioekonomi golongan itu selari dengan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Anfaal Saari berkata, inisiatif pembangunan koperasi berkelompok dapat membantu memperkasakan wanita di negeri itu dengan menyediakan platform sokongan ekonomi yang lebih kukuh.

“Walaupun belum ada perancangan khusus, konsep koperasi wanita yang berkelompok itu mampu memberi impak besar kepada sosioekonomi mereka dan selaras dengan dasar negeri untuk mengangkat taraf hidup wanita.

“Kami yakin dengan penyatuan usaha itu ia dapat membantu memperkukuh kedudukan wanita dalam komuniti,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Simposium Koperasi Wanita 2024 di Hotel Summit USJ di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Datuk Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Pada 31 Mei lalu, kerajaan negeri melancarkan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026 bertemakan “Wanita Maju, Selangor Makmur.”

Dasar itu memberi fokus kepada lima tumpuan utama dengan tujuh matlamat yang meliputi aspek pembangunan ekonomi, pendidikan dan kesaksamaan wanita untuk menjamin kesejahteraan dan daya saing mereka.

Dr Abdul Fattah dalam ucapannya mencadangkan supaya koperasi diiktiraf sebagai sektor utama dalam Sekretariat ASEAN bukan hanya terhad kepada sektor pertanian.

Menurutnya, gerakan koperasi yang lebih berdaya saing akan membantu mengangkat ekonomi rakyat ASEAN.

“Di ASEAN, lebih 300,000 koperasi telah dibentuk dengan 65 juta ahli aktif yang turut menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi serantau,” katanya lagi.

Pada Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan komitmen untuk menjadikan koperasi sebagai agenda utama menerusi kepengerusian ASEAN pada tahun depan.

Show More

Related Articles

Back to top button