Berita SemasaSukan

Selangor Red Giants, Team Vamos: Harapan negara di Kejohanan Dunia M6

PUCHONG – Selangor Red Giants (SRG) dan Team Vamos bakal membawa harapan Malaysia untuk mencipta sejarah baharu dalam Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang (MLBB) M6, yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur dari 21 November hingga 15 Disember ini.

SRG, juara Liga Profesional MLBB Malaysia Musim ke-14 bakal berdepan cabaran dari pasukan Turki, S2G Esports dalam pusingan pembukaan, manakala Team Vamos akan memulakan aksi dengan menentang pasukan Twisted Minds dari Arab Saudi.

Pengasas bersama SRG, Simon Lim berkata, pertembungan dengan S2G Esports memberi peluang untuk anak buahnya menguji keupayaan di peringkat global.

Katanya, meskipun tidak mempunyai banyak maklumat tentang strategi pasukan Turki itu, Lim optimis persiapan rapi dan keazaman tinggi SRG mampu memberi kelebihan kepada pasukan.

“S2G adalah pasukan yang mencipta kejutan besar di liga Turki dan itu akan memberi cabaran kepada kami. Namun, SRG sudah bersedia untuk menunjukkan prestasi terbaik dan menghadapi kejutan,” katanya ketika ditemui di Majlis M6 Unveiling Swiss Stage di Spacerubix, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, yang turut hadir pada majlis itu meluahkan keyakinannya terhadap kedua-dua pasukan Malaysia dalam mengharungi kejohanan itu.

Beliau memuji prestasi esukan tempatan yang semakin berkembang pesat dan menyatakan sokongan penuh kerajaan dalam membantu atlet esukan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Esukan kini menjadi medan yang sangat kompetitif di peringkat global.
“Dengan perkembangan prestasi pasukan tempatan, saya yakin mereka mampu membawa pulang kejayaan yang membanggakan,” katanya.

Adam Adli turut berkata, Malaysia berbangga kerana menjadi tuan rumah kejohanan bertaraf dunia seperti M6, yang bukan sahaja memaparkan bakat tempatan, tetapi turut menampilkan persembahan pembukaan yang unik dari Orkestra Kuala Lumpur, satu simbolik penting dalam mengangkat esukan sebagai satu bidang yang lebih dihargai.

Kejohanan Dunia M6 akan bermula dengan pusingan wildcard pada 21 November di Pusat Pameran dan Konvensyen IOI, Putrajaya, di mana lapan pasukan bakal bersaing untuk merebut slot ke Peringkat Swiss.

Dari 28 November hingga 5 Disember, Peringkat Swiss akan melihat 16 pasukan disaring untuk menentukan lapan terbaik menuju Pusingan Playoff.

Separuh akhir dan final akan berlangsung pada 14 dan 15 Disember di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Peminat di Malaysia dan seluruh dunia kini bersiap sedia menyaksikan kejohanan yang menjanjikan persaingan sengit serta menjadi lambang kebangkitan industri esukan tanah air.

Show More

Related Articles

Back to top button