Jenayah & Mahkamah

Skandal FashionValet: 11 beg tangan, jam jenama mewah disita

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah kediaman pasangan suami isteri pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar di Mont Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Memetik laporan BH Online yang memetik satu sumber, sebelum itu pasangan terbabit hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada jam 1 tengah hari untuk menyambung memberi keterangan sebelum dibawa ke kediaman mereka pada jam 5.30 petang tadi.

“Dalam serbuan ini, selain dihadiri 12 pegawai SPRM, ia turut disertai peguam pasangan berkenaan.

“Penggeledahan berakhir sekitar jam 8 malam dan antara barangan yang disita termasuklah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi BH Online mengesahkan pembongkaran terbabit dan berkata, kes disiasat di mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Katanya, pasangan terbabit akan hadir lagi ke Ibu Pejabat SPRM hari ini pada jam 10 pagi untuk sambung memberi keterangan.

Siasatan membabitkan pasangan terbabit susulan laporan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.

Show More

Related Articles

Back to top button