PKR tidak ketandusan pemimpin pelapis – Fuziah Salleh
KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menampilkan ramai pemimpin pelapis berpotensi yang sedia menyambung kepimpinan parti di pelbagai peringkat umur dan tidak mengalami kekurangan pemimpin seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, parti itu mempunyai barisan pelapis yang mantap dan bersedia untuk terus memimpin seiring dengan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sebenarnya, terlalu banyak nama pemimpin yang mungkin tidak terlihat di mata orang ramai, tetapi saya lihat kita mempunyai ramai pemimpin pelapis,” katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia.
Beliau turut menyenaraikan beberapa pemimpin PKR mengikut peringkat usia, menunjukkan kepelbagaian generasi dalam parti.
“Bagi pemimpin berusia 60-an, kita ada saya, Saifuddin Nasution dan Dr. Zaliha Mustafa. Dalam lingkungan usia 50-an pula, kita ada Menteri Besar Negeri Sembilan. Usia 40-an pula dihuni oleh Nik Nazmi Nik Ahmad, Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli dan Fadhlina Sidek, sementara generasi 30-an diwakili oleh Adam Adli dan Kamil Munim.”
Fuziah berkata, walaupun terdapat persepsi bahawa parti mungkin belum bersedia, pemilihan akan datang akan menjadi bukti bagi menilai keupayaan pemimpin-pemimpin pelapis itu.
“Kita ada ramai pemimpin, tetapi mungkin ada yang berpandangan kita belum bersedia. Jadi, kita lihat bagaimana dengan pemilihan nanti,” katanya lagi.
Pemilihan PKR yang dijadualkan tidak lama lagi bakal menjadi medan untuk melihat potensi dan kesediaan generasi pelapis itu dalam memperkukuhkan kedudukan parti di arena politik tanah air.