Agama

Mimpi bukan dalil syarak, tidak boleh dijadikan hujah – MKI

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) menegaskan mimpi bukan dalil syarak dan tidak boleh dijadikan hujah untuk menetapkan sesuatu hukum syarak sama ada halal, wajib atau haram.

Pengerusinya, Datuk Dr Nooh Gadut berkata, mimpi orang Islam ada tiga peringkat, yang pertama bisikan jiwa, kedua godaan syaitan dan ketiga mimpi khabar gembira.

“Hanya mimpi para Nabi dan Rasul saja adalah mimpi yang benar dan boleh dijadikan sumber hukum dan hujah syarak, kerana mereka dilindungi Allah. Para Rasul serta Nabi adalah maksum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nooh turut menjelaskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam ke-36 pada 15 Disember 1994 sudah membincangkan mimpi dari perspektif Islam.

Katanya, muzakarah itu memutuskan lima perkara iaitu mimpi seorang Nabi dan Rasul adalah wahyu yang menjadi hukum adalah benar; mimpi orang ramai di zaman Rasulullah seperti melihat baginda dalam tidur menyamai melihat Rasulullah dalam masa jaga adalah khusus di zaman semasa baginda masih hidup.

Selain itu, mimpi orang Islam selepas wafat Rasulullah, maka ia akan berjumpa di akhirat nanti dan akan mendapat syafaat Rasulullah; mimpi orang Islam ada tiga peringkat iaitu pertama bisikan jiwa, kedua godaan syaitan dan ketiga ialah mimpi khabar gembira dari Allah, mimpi orang bukan Islam adalah ditolak dan kelima ialah mimpi orang awam bukan hujah terhadap satu hukum atau berita atau satu kenyataan.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial video seorang pemimpin politik mendakwa bermimpi bertemu Rasulullah di kawasan Parlimennya di Pantai Timur.

Rakaman video ucapan pemimpin itu menceritakan bagaimana Nabi Muhammad yang datang ke daerah di negeri Pantai Timur, dan meminta ahli politik terbabit mendamaikan perbalahan di antara golongan Sunni dan Syiah.

Show More

Related Articles

Back to top button