Polis giat buru suspek curi kabel di Temerloh
TEMERLOH – Polis sedang giat memburu sekumpulan lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel tembaga milik syarikat telekomunikasi di Taman Keramat dekat Mentakab di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.45 pagi itu disedari seorang penduduk di kawasan tersebut selepas dia terdengar bunyi bising di hadapan rumahnya.
Katanya, lelaki berusia 27 tahun itu kemudian bertindak keluar dan melihat dua kenderaan iaitu Toyota Wish dan Honda HRV berada di hadapan kawasan rumahnya.
“Pengadu melihat ada sekumpulan lelaki dipercayai tujuh orang sedang mencuri kabel dari dalam lurang pembentung yang berada di hadapan rumahnya.
“Pengadu berada dalam kawasan pagar rumah yang berkunci telah bertindak merakam video aksi sekumpulan lelaki tersebut.
“Pengadu turut memarahi sekumpulan lelaki tersebut sehingga salah seorang suspek bertindak membaling botol plastik namun sempat dielak,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Terdahulu, tular klip video berdurasi 1 minit 44 saat di platform TikTok yang memaparkan sekumpulan lelaki sedang menarik kabel dari lurang pembentung dan menyangkutnya pada kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish sebelum melarikan diri.
Sementara itu, Mazlan berkata, hasil semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek adalah palsu.
Selain itu, lokasi kejadian juga tidak mempunyai pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) dan pengawal keselamatan.
Pihak syarikat telekomunikasi terbabit telah membuat laporan polis dan mengesahkan terdapat kabel milik mereka yang telah dipotong di kawasan lurang pembentung di taman terbabit.
“Anggaran kabel yang dilarikan antara 5 hingga 10 meter dan jumlah sebenar kerugian dianggarkan kira-kira RM500,” katanya.
Dalam pada itu, Mazlan turut meminta kerjasama pihak terbabit untuk memastikan sisa kabel tembaga yang ada dilupuskan segera bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Risiko terutamanya bagi pengguna jalan raya kerana bila kabel ini dicuri menyebabkan penutupnya dialihkan dan ini boleh mengundang bahaya serta keselamatan pengguna,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.