Berita SemasaPM X

Malaysia sudah laksana langkah wajar, tegas beri tekanan ke atas Israel

KUALA LUMPUR – Malaysia sudah mengambil langkah wajar dan tegas bagi memberikan tekanan ke atas Israel bagi menghentikan keganasan perang berterusan di Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, langkah yang dibuat kerajaan mesti didasari strategi yang tepat bagi memelihara keamanan dan kepentingan rakyat di negara ini.

“Dari segi ketegasan, bukan nak takbur tetapi saya sudah mengambil langkah yang melangkaui kesanggupan banyak negara malah ramai rakan dari negara (luar) yang ingatkan saya mengenai risiko ini.

“Pagi tadi saya turut berbincang dengan Menteri Luar mengenai kenyataan yang dikeluarkan (Malaysia), bagaimana untuk memastikan supaya Malaysia tidak terjejas,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau kemudian turut menyatakan hasrat Malaysia menggunakan Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam dalam meraih sokongan negara Arab dan Islam bagi menghalang keputusan Parlimen Israel ‘melenyapkan’ Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).

Jelas Anwar, Malaysia juga akan mengusulkan supaya sokongan sepenuhnya diberikan kepada UNRWA dalam melaksanakan mandatnya dalam memberi perkhidmatan sosial dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin menerusi sidang kemuncak yang bakal berlangsung di Riyadh mulai 11 November depan.

“Kehadiran saya ke Sidang Kemuncak tergempar ini adalah untuk membawa mandat Dewan ini, iaitu mengambil tindakan bagi menghentikan kekejaman berterusan Israel ke atas rakyat Palestin.

“Pencerobohan dan pemusnahan pusat ibadah di wilayah Palestin yang diduduki, serangan terbuka ke atas wilayah-wilayah di Lubnan; dan Iran, termasuk pembunuhan Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button