Kes pecah rumah, polis tahan lelaki dengan 35 rekod jenayah
JEMPOL – Polis menahan seorang lelaki dengan 35 rekod jenayah selepas dipercayai terlibat dalam beberapa insiden pecah rumah, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kes terbaharu melibatkan suspek yang memecah masuk rumah seorang wanita berusia 56 tahun di Taman ACBE, di sini.
Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 5.30 pagi apabila suspek memanjat tembok perimeter dan masuk ke rumah mangsa dengan membuka skru tingkap dapur.
“Beberapa barangan peribadi milik mangsa juga hilang, dengan anggaran kerugian sekitar RM2,500.
“Namun, suspek berjaya ditahan di kawasan parkir sebuah pasar raya di Bahau, Jempol, selepas disyaki terlibat dalam tiga kes pecah rumah dan kecurian di kawasan tersebut dua hari lalu.
“Dia mengaku memecah masuk rumah secara bersendirian. Modus operandinya adalah memasuki rumah yang tidak berpenghuni atau yang kosong buat sementara. Suspek lebih suka melakukan aktiviti ini antara jam 3 pagi hingga 6 pagi,” katanya lagi.
Chang Hook menambah, saringan awal menunjukkan lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai pelbagai rekod jenayah terdahulu, termasuk dikehendaki di bawah Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959.
Beliau turut berkata, suspek akan direman sehingga Rabu depan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah.