
Anggota tentera parah ditetak
MELAKA – Seorang anggota tentera berpangkat Koperal mengalami kecederaan parah selepas ditetak dengan parang oleh tiga individu tidak dikenali yang menyerangnya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam kelmarin ketika mangsa yang berusia 31 tahun selesai mengeluarkan wang di sebuah bank dekat Sungai Udang di sini.
Beliau berkata, mengikut laporan, mangsa mendakwa ketika menghidupkan motosikalnya, tiba-tiba muncul tiga individu tidak dikenali yang bertindak menahannya sambil mengacukan parang ke pinggangnya.
“Dalam keadaan cemas itu pengadu terus menekan gear motosikal dan cuba melarikan diri sebelum terasa bahagian atas tangan kirinya terkena libasan parang suspek.
“Mangsa bagaimanapun terus melarikan diri dengan masuk ke kawasan perumahan serta meninggalkan motosikalnya di bahagian hadapan taman,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Christopher berkata, dalam keadaan kesakitan mangsa yang dikejar suspek terus berlari ke arah Balai Polis Sungai Udang untuk menyelamatkan diri.
Katanya, akibat tetakan itu mangsa mengalami keretakan atas pergelangan tangan kiri selain urat tangan putus dan mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
“Difahamkan kejadian serangan itu bukan bermotifkan samun, sebaliknya mempunyai kaitan dengan masalah hutang.
“Namun, kita masih menyiasat motif sebenar kejadian kerana barangan milik mangsa termasuk wang tidak dilarikan,” katanya.
Beliau berkata, usaha mengesan suspek juga giat dilakukan dan pihaknya merayu orang ramai yang mengetahui atau melihat kejadian untuk hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat.
Terdahulu, tular di WhatsApp gambar didakwa menunjukkan kecederaan dialami mangsa sejak kelmarin yang dikaitkan berpunca cubaan samun.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |