Kes buli UPNM: Belum ada pihak tampil buat laporan polis
KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan masih belum menerima laporan daripada mangsa atau pihak Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berhubung dakwaan kes pegawai kadet cedera mereka dibuli senior.
Beliau dipetik sebagai berkata, pihaknya bersedia menjalankan siasatan sekiranya ada laporan dibuat oleh pihak terbabit.
“Kita masih menunggu laporan dari kedua-dua pihak,” katanya, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada PDRM untuk menyiasat kes buli membabit seorang pegawai kadet di UPNM.
Baru-baru ini laporan media memberitahu, seorang pegawai kadet tahun dua di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), UPNM, Sungai Besi cedera setelah dipercayai menjadi mangsa buli dan dera.
Menurut sumber, difahamkan mangsa yang mengambil jurusan kejuruteraan menjadi mangsa buli penuntut senior dan cedera di badan dipercayai akibat ditekap dengan seterika.
Susulan kejadian, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan berkenaan dan mengambil maklum berhubung laporan media yang tular berkenaan.