ATM siasat Pegawai Kadet UPNM dakwa ditekap seterika
KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan kes seorang Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK UPNM) yang disyaki dibuli dan didera oleh seorang seniornya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada.
Menurut ATM dalam satu kenyataan, sehubungan itu satu siasatan sedang dilakukan di peringkat ALK UPNM.
“ATM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak
akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kes tersebut.
“Tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan
kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Dalam pada itu, ATM juga menggesa agar masyarakat memberi ruang kepada pihaknya menyiasat perkara itu secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.
Selain itu, katanya, masyarakat juga diseru agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu kepada proses siasatan tersebut.
“Segala perkembangan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” katanya.