Berita Semasa

Projek Residensi Rakyat tekankan konsep kediaman bersifat bersepadu, kondusif dan berdaya huni

PUTRAJAYA – Penjenamaan semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai Projek Residensi Rakyat (PRR) merupakan satu langkah yang selari dengan perubahan masa.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, PRR menggambarkan aspirasi dan penekanan kerajaan ke atas konsep kediaman yang bersifat bersepadu, kondusif dan berdaya huni dengan kualiti komersial.

“Penjenamaan semula ini bukan sahaja melibatkan nama, tetapi juga penambahan ciri baharu.

“Skim PRR akan menampilkan enam elemen penambahbaikan, iaitu penambahbaikan umum, kawasan, blok, reka bentuk unit rumah, spesifikasi unit rumah dan penambahbaikan lain seperti pelaksanaan Q-Lassic serta Pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

“Keluasan lantai kasar minimum PRR ditetapkan 750 kaki persegi dengan harga jualan baharu RM60,000 seunit bermula 2026/2027 selepas projek baharu siap,” katanya.

Kor Ming berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir menyaksikan Majlis Penyerahan Kelulusan Kebenaran Merancang PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya, Tanjong Karang, di sini hari ini.

Projek ini merupakan kerjasama di antara pihak kementerian, kerajaan negeri Selangor, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Berjaya Group selaku rakan swasta.

Tambahnya, penjenaaman turut mampu membantu mengurangkan stigma dan persepsi negatif masyarakat ke atas komuniti PPR sedia ada serta meningkatkan imej program perumahan di bawah kementerian.

“Lokasi pembinaan PRR akan dikenal pasti di kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar dengan menitikberatkan aspek kesalinghubungan, kebolehcapaian, mampan, berdaya huni dan pergerakan dengan kemudahan awam,” katanya lagi.

Bagi kawasan bandar, PRR akan dijadikan rumah transit tanpa peserta kekal selamanya, manakala pembangunan PRR di kawasan pinggir bandar dan luar bandar boleh dipertimbangkan bagi tujuan pemilikan.

Untuk rekod, keputusan menjenamakan semula PPR kepada PRR dipersetujui Kabinet pada 3 September lalu.

Selain mensejahterakan rakyat, kerajaan turut beriltizam untuk menjadikan kualiti perumahan rakyat negara ini setanding kemudahan sama di Singapura, Jepun dan Korea Selatan.

Show More

Related Articles

Back to top button