Berita Semasa

Program pemulihan 424 kanak-Kanak GISBH dipantau berkala

SHAH ALAM – Seramai 424 kanak-kanak daripada Global Ikhwan Services Holdings (GISBH) yang kini menjalani program pemulihan di bawah pasukan khas kerajaan Selangor akan dinilai secara berkala bagi memantau tahap perkembangan mereka.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, penilaian dilakukan untuk mengenal pasti keperluan rawatan mengikut tahap kesihatan mental dan emosi kanak-kanak tersebut.

“Jika mereka masih dalam kategori trauma kronik, mereka akan diletakkan dalam program pemulihan khusus, manakala yang berada dalam kategori sederhana atau ringan akan mengikuti program yang lebih sesuai,” katanya pada program HiTea Satu Tahun Anfaal Saari di sini pada Selasa.

Menurut beliau, program pemulihan berkenaan berjalan lancar dengan kerjasama erat daripada pelbagai agensi kerajaan yang berperanan mengikut bidang masing-masing.

Program ini merangkumi empat kluster utama iaitu pendidikan, kebajikan, kesihatan mental dan aspek perundangan bagi memastikan kesejahteraan kanak-kanak terjamin.

Sebelum itu, kerajaan Selangor telah menubuhkan pasukan khas untuk menyediakan program pemulihan khusus bagi kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal GISBH.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah bersama Anfaal Saari dalam kenyataan bersama menyatakan bahawa penubuhan pasukan itu diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 2 Oktober lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button