Politik

Pemilihan ARMADA BERSATU: Proses pengundian dipersoal, cetus syak wasangka

KUALA LUMPUR – Keputusan Pemilihan ARMADA BERSATU Malaysia yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) semalam menimbulkan pelbagai persoalan mengenai ketelusan proses pengundian tersebut.

Penolong Setiausaha ARMADA BERSATU Malaysia, Muhammad Faiz Rahmad menyuarakan kebimbangan terhadap proses pengundian yang dikatakan tidak tersusun dan mencetuskan syak wasangka di kalangan perwakilan serta ahli-ahli parti.

Faiz berkata, beberapa prosedur yang diambil oleh JPP berbeza daripada konvensyen biasa yang diguna pakai dalam pemilihan parti termasuklah membuka ruang bantahan sebelum keputusan rasmi diumumkan.

“Kenyataan Pengerusi JPP pada 27 Oktober membenarkan bantahan dibuat sehingga pukul 10 pagi, 28 Oktober, sebelum keputusan diumumkan. Itu adalah tindakan luar kebiasaan dan menimbulkan persoalan sama ada maklumat telah bocor kepada pihak tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Faiz turut mempersoalkan keputusan JPP untuk tidak merujuk isu pemilihan ini kepada Mesyuarat Pengurusan BERSATU, seperti yang dilakukan dalam Pemilihan Sayap Bersekutu BERSATU awal Oktober lalu.

“Mesyuarat Pengurusan adalah pihak yang diberi mandat penuh oleh Majlis Pimpinan Tertinggi untuk menyelesaikan sebarang isu pemilihan, namun kali ini JPP dilihat bertindak secara bebas,” katanya.

Faiz turut mempersoalkan mengenai keabsahan undi di beberapa bahagian seperti ARMADA Beaufort dan ARMADA Kalabakan.

“Bahagian Beaufort pada awalnya layak bersidang namun secara tiba-tiba tidak diberikan kelulusan. Jika mereka tidak layak bersidang, mengapa kertas undi masih diedarkan?” katanya lagi.

Di Bahagian Kalabakan pula, jumlah perwakilan rasmi yang diluluskan oleh Mesyuarat Pengurusan adalah 50 orang dari empat cawangan, namun pada hari persidangan jumlah tersebut melonjak kepada lebih 180 perwakilan daripada 12 cawangan.

Faiz turut mempertikaikan dari mana datangnya tambahan perwakilan itu serta sama ada ia merupakan satu percubaan untuk menambah undi secara tidak sah.

“Kami menuntut ketelusan sepenuhnya dan tidak akan berkompromi dalam isu keadilan serta integriti. Setiap ahli BERSATU berhak mendapatkan jawapan yang sahih mengenai perkara itu,” katanya lagi.

Faiz berkata sebagai parti yang berpegang kepada prinsip keadilan dan integriti, BERSATU harus telus dalam semua proses pemilihan.

“Kami hanya meminta asas keadilan ditegakkan. Integriti parti perlu dipulihkan agar keyakinan ahli dan rakyat Malaysia dapat dikembalikan,” tambahnya.

Show More

Related Articles

Back to top button