Kes 1MDB: 4 pertuduhan terhadap Najib sah, tidak cacat – hakim
KUALA LUMPUR – Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan empat tuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak adalah sah, dan tidak cacat.
Memetik laporan BH Online, keputusan itu dibuat beliau ketika membacakan penghakiman Mahkamah Tinggi, di akhir kes pendakwaan.
Sequerah berkata, tuduhan yang dikenakan ke atas Najib tidak kabur dan bekas perdana menteri itu tidak dikelirukan serta tidak diprejudiskan berhubung kesalahan berkenaan.
Sequerah masih membacakan penghakiman beliau yang bermula sejak jam 9.25 pagi tadi.
Najib yang juga bekas perdana menteri dan menteri kewangan didakwa dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Tarikh keputusan di akhir kes pendakwaan itu ditetapkan Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, pada 3 Oktober lalu selepas selesai mendengar hujahan melalui prosiding berlangsung selama 12 hari yang dikemukakan pihak pendakwaan dan peguam bela Najib.
Sekiranya hakim bicara mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Najib, maka beliau hendaklah membela diri terhadap semua tuduhan berkenaan, dan mahkamah sama akan membuat keputusan sama ada beliau bersalah atau tidak, di akhir kes pembelaan.